Ditenung Lembaga Wanita

 








 

 
 




MERSING: “Lembaga wanita dengan rambut mengerbang itu merenung tajam ke arah saya. Seketika kemudian, saya terus tidak sedarkan diri,” kata Muhamad Alif Aidil Anuar, 15, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Pantai, di sini, semalam.

Alif adalah seorang daripada 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Anjung Batu (SMKAB) yang diserang histeria, kelmarin.

Pelajar tingkatan tiga itu berkata, pada awalnya dia hanya mahu membantu rakan sekelas yang menjerit serta menangis kerana diserang histeria.

“Ketika membantu rakan, tubuh saya tiba-tiba berasa seram sejuk. Ketika itu, saya nampak lembaga wanita terbabit dengan beberapa lembaga kelihatan seperti kanak-kanak bersamanya.

“Saya tergamam sebelum tidak sedarkan diri. Saya hanya tersedar selepas diberi rawatan di surau sekolah,” katanya.

Menceritakan semula apa yang berlaku, Alif berkata, sebelum kejadian, dia bersama lebih 100 pelajar tingkatan tiga SMKAB mengadakan latihan kebudayaan di dewan yang terletak di hujung kawasan sekolah.

Katanya, semasa latihan, seorang daripada pelajar perempuan tiba-tiba menjerit dan meronta ketakutan sebelum diikuti puluhan yang lain.

“Hanya dua pelajar lelaki terkena histeria. Badan saya masih lemah dan kini mengambil cuti, saya harap perkara itu tidak berulang,” katanya.

Pelajar, Nurul Nazariah Mentawinata, 17, berkata dia menjadi mangsa selepas menghampiri seorang rakan sekelas yang tiba-tiba menjerit dan meronta.

“Berdasarkan apa yang dimaklum rakan, saya tidak sedarkan diri tetapi mampu berlari di sekitar kawasan sekolah. “Mereka beramai-ramai mengejar dan menenangkan saya. Pada masa sama, saya juga terlihat lembaga wanita itu,” katanya.

Katanya, itu kali pertama dia diserang histeria dan bersyukur tiada kejadian lebih teruk menimpanya.

Beberapa pengamal perubatan tradisional diketuai oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Mersing Kanan, Wahid Junid akan ke SMKAB esok untuk memagar kawasan sekolah itu.

“Saya akan cuba mengalihkan makhluk halus terbabit jauh dari sekolah ini dan berdoa supaya ia berjaya.

“Saya galakkan pelajar memperbanyakkan bacaan al-Quran untuk mengelak gangguan syaitan,” katanya.
 


Previous
Next Post »